Menunggu

Tercelik matanya di keheningan subuh hari, 

Menatap langit yang sama tidak berubah rupa, 

Dan diteruskan bersujud matanya ke bumi, 

Menunggu hari yang tidak tahu kunjung tiba. 

 

Kini mata hanya bertentang mata, 

Paras rupa hanya tinggal kenangan, 

Apakah disebalik kegelapan punya cahaya? 

Menunggu waktu yang berbekalkan harapan. 

 

Rindukan jasad yang tiada didepan mata, 

Membuku rasa tiada yang tahu dihati, 

Apakah semuanya akan kembali sama?

Menunggu masa yang tak akan kembali 

Dengar

Namanya seorang manusia, ternyata dia tidak sempurna

Ada hari dahinya terus mendakap lantai ketika sujud

Ada masa hatinya terus berkeluh harta tidak wujud

Pabila diri mahu, dua tangan rapat terus meminta

Pabila tidak perlu, pantas bangkit usai wajib terus alpa

Namanya seorang manusia, hamba ciptaan si Dia

Selupa mana dirinya, lupa bukanlah sebahagian dari-Nya

Kerana setiap keluhan dan rintihan

Dan setiap doa dan tangisan

Tiada yang mendengar selain si Dia

 

Rahsia

Setiap yang berakal 

Dalam mahupun dangkal 

Setiap yang bernafsu 

Buas mahupun lesu 

Tidak akan terlepas walaupun satu 

Kerana maksum itu bukannya mereka 

Yang tercipta itu namanya manusia 

Semestinya hati punya rahsia

Jangan disuluh yang gelap gelita

Lost

He looked around himself

The more he search, the further he lose 

Pounding his chest asking himself

Of what he truly desired

Dripping were his tears running through his gaunt cheeks

He could not tell but the tears gushed over him 

He lost to himself 

Lost to such clueless life he thought he knew 

He lost in his lost 

Sesat

Dan dia terus berlalu melangkah satu persatu

Mencari arah yang tidak pernah dia tahu

Menoleh bingung menunggu ilham tak kunjung tiba

Dan dia berlari mendukung berat hati untuk dibawa

Menuju pantas agar dia tidak ketinggalan

Mencari cahaya yang tidak pernah berkenalan

Agar dia boleh terus berlalu melangkah satu persatu

Mencari arah yang tidak pernah dia tahu

Apakah dia tidak tahu?

Mimpi

Dia celikkan mata melihat awan putih menghurung langit biru

Semuanya persis mimpi namun pahitnya kekal realiti

Detik-detik hati terus berdetak meratib kudrat 

Mengusung harapan untuk dia dibawa pulang

Pulang semula ke dakapan mereka yang tidak tahu

Akan lopongnya hati itu didiami penuh tipu

Dia pejamkan mata mengharapkan semuanya mimpi

Agar terus dibuainya mimpi bertatahkan hakiki

Kosong

Walau siang silih berganti malam

Dia masih terkedu kosong hatinya

Walau hari beredar menutup kalam

Dia masih sayu terkenang nasibnya

Pantas memacu segala di sekelilingnya

Dia terpaku berdiri tanpa daya

Semuanya seakan berhenti buatnya

Sedangkan sesaat pun tidak berhenti kerana dia

Usai melihat segalanya terlepas

Dia pulang ke pangkuan hati

Memujuk hati yang seakan terhempas

Menipu diri semuanya sudah pasti